CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, October 8, 2008

10 cArA rAiH kEjAyAaN..!!

Ramai yang mempunyai tujuan dan impian dalam hidup. Namun tidak semua Berjaya mengecapnya tanpa didukung faktor X. Berikut adalah 10 cara yang boleh diikuti untuk anda meraih kejayaan.

1. HARUS BERPIJAK DI BUMI NYATA
Jika anda mempunyai harapan yang terlalu tinggi hingga sukar dicapai, anda harus berfikir semula. Anda boleh sahaja menetapkan sasaran anda tetapi biarlah realistik.

2. BERSABAR
Jangan samakan setiap keinginan seperti mi segera. Anda harus berusaha walaupun ia memakan masa yang lama. Jangan terburu-buru menyerah jika impian masih belum tercapai. Mungkin belum sampai waktunya namun anda haruslah meneruskan usaha anda agar tercapai.

3. TEKAD
Dalam mencapai impian ibarat bermain saham. Semakin besar taruhan, semakin besar kemungkinan untuk meraih keuntungan. Oleh itu, anda harus menjadi seorang yang nekad dan positif. Jika anda yakin dengan impian anda, teruskan dan pastikan anda matang dengan setiap keputusan yang dibuat.

4. KEUTAMAAN
Anda mempunyai segudang harapan tetapi bukan semua keinginan dapat dicapai. Susun semua impian anda mengikut keutamaan dan berusaha untuk mencapainya.

5. KEJAR DEADLINE
Anda harus menentukan jangka masa untuk mencapai sasaran hingga ianya tercapai. Lakukan dengan penuh motivasi. Jika anda berhasrat untuk meningkatkan pendapatan dan dinaikkan pangkat, berusaha ke arah itu dalam tempoh yang ditetapkan.


6. SOKONGAN
Di saat anda hampir menyerah, dapatkan sokongan daripada mereka yang dekat dengan anda. Mereka akan membantu anda dengan memberikan dorongan dan anda akan menjadi seorang yang bersemangat dan lebih bermotivasi.

7. HUBUNGAN
Jangan merendahkan rakan kerja dan teman-teman di sisi anda. Semakin ramai rakan, bererti semakin banyak pintu bantuan akan terbuka. Biarpun bukan dari segi kewangan, setidak-tidaknya anda mendapat sokongan moral dari mereka.

8. FOKUS
Biarpun berhadapan dengan kesulitan dan memerlukan pengorbanan yang besar, fokus dengan tujuan anda. Fikirkan kebaikannya sahaja.

9. TETAP BERSEMANGAT
Sering kali anda terhenti di tengah jalan kerana semangat yang anda miliki semakin pudar, nyalakan semangat anda agar tetap membara dan teruskan usaha anda.

10. TAWAKAL
Bekerja sambil berdoa. Setiap usaha yang dilakukan dengan sepenuh hati perlu diiringi dengan doa mudah-mudahan usaha anda membuahkan hasil.

MENGHAPUSKAN RASA PANIK...


1. BERSEDIA

Cara utama untuk menghilangkan rasa panik sewaktu peperiksaan adalah dengan melakukan persiapan diri dan bersedia. Jika ilmu yang diturunkan oleh guru sudah cukup anda fahami, tentu rasa panik tidak akan timbul. Oleh itu, semakin menghampiri musim peperiksaan, giatkan lagi ulang kaji dan latihan. Petua ini harus dilakukan lebih awal pada musim pembelajaran. Jika masa sudah suntuk dan peperiksaan sudah mula menjenguk, cubalah buat persiapan semampu yang boleh. Janganlah menghadapi peperiksaan tanpa apa-apa persediaan.
Selain persediaan kefahaman pada subjek, anda juga harus menyiapkan diri secara fizikal dengan menjaga pemakanan dan menghindari aktiviti yang boleh menyebabkan kemalangan. Siapkan juga segala keperluan alat tulis dan lain-lain yang perlu ada di dalam dewan peperiksaan. Jangan suka bertangguh dan menunggu hingga saat akhir untuk bersiap, terutama untuk mengulangkaji. Tabiat suka berlengah akan membuatkan fikiran tertekan apabila waktunya mendekat, lalu menimbulkan rasa panik semasa menjawab soalan peperiksaan. Lagipun, mengulangkaji pada saat akhir akan membuntukan fikiran dan ilmu pun sukar diserap.

2. BERHENTI

Jika perasaan cemas dan tertekan muncul sewaktu anda mengulangkaji, berhentilah serta-merta. Jika anda sedang menjawab soalan di dewan peperiksaan dan tiba-tiba dilanda panik, berhentilah. Letakkan pen di sisi dan lupakan semuanya sebentar untuk memadamkan rasa panik. Tiada guna terus mengulangkaji atau menjawab soalan peperiksaan dalam keadaan begitu kerana anda sebenarnya tidak boleh berfikir dengan betul – dalam keadan gelisah atau tertekan. Sebelum situasi menjadi lebih teruk, berhentilah sekejap. Moga perasaan panik menjadi reda dan anda boleh menyambung ulangkaji atau menjawab soalan semula seketika kemudian.

3. BERTENANG

Panik menjadikan anda kaku dan pergerakkan otot seperti terkancing ketat. Untuk menghilangkan rasa cemas, cuba rehatkan fikiran dan bertenang. Sambil duduk, tegakkan badan dan pejamkan mata. Regangkan otot yang kejang dan cuba longgarkan setiap sendi. Barangkali anda boleh mengendurkan sendi leher dahulu, kemudianbergerak perlahan ke bahu, ke tangan, pinggang, kaki hingga ke buku lali. Lakukan sehingga seluruh tubuh rasa lega.
Sambil itu, buang segala masalah yang menghantui fikiran, kosongkan minda anda sebentar. Tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan melalui hidung. Ulangi berkali-kali. Bernafas dengan sempurna dapat menghilangkan rasa panic kerana dapat menyingkirkan korbon dioksida yang terkumpul di dalam tubuh yang akan merosakkan keseimbangan badan. Ambil masa sebentar untuk menenangkan perasaan. Apabila rasa panik reda, sambunglah mengulangkaji atau menjawab soalan peperiksaan.

4. BERDOA

Jangan lupa mengisi rohani apabila menghampiri musim peperiksaan. Berdoa dan melakukan ibadah harian juga dapat melupuskan rasa panik. Sebelum memulakan hari, berdoalah semoga hati ditenangkan dan diterangkan, serta ilmu mudah masuk ke dalam minda. Sentiasa berselawat dan melakukan solat hajat. Doakan kejayaan anda pada waktu peperiksaan dan doakan kecemerlangan dalam kehidupan yang mendatang. Elok juga anda mengambil wuduk sebelum mula mengulangkaji atau menduduki peperiksaan. Dengan hati yang bersih, nescaya perasaan anda akan turut berasa tenang.
Bagi mereka yang bukan beragama Islam juga digalakkan berdoa, memohon kejayaan mengikut agama anda. Selain mengisi ilmu di kepala, sentiasalah mencurah ketenangan di jiwa dengan mendekati agama dan melakukan ibadah mengikut kepercayaan masing-masing. Sesungguhnya, manisia bukan makhluk fizikal sahaja, kita turut mempunyai roh. Dengan batin yang terisi bersih, musim peperiksaan pun akan dihadapi dengan tenang.

5. BERSERAH

Anda harus berserah kepada Allah. Jika anda sedar ada kuasa yang lebih besar dan menentukan segala perkara di dunia bahawa semua di luar tangan anda, anda akan turut menyedari bahawa tiada gunanya berasa panik. Segala-galanya telah ditentukan oleh Allah dan akan mengikut ketetapannya. Yang harus anda lakukan ialah melakukan persediaan semampu boleh, menghadapi setiap cabaran dengan fikiran yang tenang, melakukan yang terbaik dalam ujian dan peperiksaan dan menyerah kepada Tuhan untuk memutuskan penyelesaiannya. Sesungguhnya, setiap apa-apa yang ditakdirkan ada hikmah dan kebaikannya.